mutakhir

'Hari raya tak meriah macam dulu'

Petaling Jaya: “Walaupun dapat membeli belah sepuasnya, namun hari raya tahun ini tetap takkan meriah macam dulu sebab ayah sudah tiada,” luah Muhammad Akmal Lutfi Hakim, 9.

Ternyata nada ceria anak yatim itu berubah sayu apabila ditanya mengenai sambutan Aidilfitrinya bersama keluarga.

Begitupun, Akmal dan adiknya tetap berterima kasih dengan pihak yang prihatin terhadap anak yatim sepertinya.

“Hari ini saya dan adik pilih baju, seluar dan kasut. Memang seronok memilih persiapan raya bersama kawan-kawan.

“Namun ingatan pada ayah tetap kuat tidak kira di mana kami berada,” katanya.

Dia antara 30 anak yatim Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa, Puchong yang dibawa Kumpulan LITRAK ke AEON One Utama di sini untuk membeli persiapan raya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LITRAK Sazally Saidi berkata, pihaknya berbesar hati meraikan anak-anak kurang bernasib baik sempena Aidilfitri ini.

“Program membeli belah persiapan raya bersama anak yatim dan miskin ini sudah masuk tahun ke tujuh.

“Selain memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR), kita juga seronok kerana dapat berkongsi kegembiraan bersama mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.

Jelas Sazally, setiap anak diperuntukkan perbelanjaan RM200 dan mereka bebas memilih mengikut kehendak dan keperluan masing-masing.

Disiarkan pada: July 9, 2015 @ 8:09am
d