mutakhir

Dijel curi resit menang hadiah

Kuala Lumpur: Padah mencuri resit transaksi pembelian milik pelanggan bagi mendapatkan hadiah, seorang juruwang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM650 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Saifulakmal Said menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azwa Arifin, 26, selepas tertuduh mengaku salah.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara dua minggu sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Azwa didakwa cuba menggunakan resit yang sudah dimasukkan dalam kotak peraduan untuk membuat penukaran dua pasang kasut berharga RM314.50, seolah-olah resit itu miliknya di kaunter khidmat pelanggan di pusat beli-belah di Wangsa Maju di sini, jam 9.01 malam, 22 Mei lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan dia melakukan kesalahan itu kerana tidak cukup duit, namun Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Disiarkan pada: July 9, 2015 @ 8:49am
d