mutakhir

Racun murah rokok seludup

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: “Bahan bakar tembakau yang terdapat di dalam rokok seludup biasanya lebih tinggi. Contohnya tar melebihi 20 peratus,” kata Pensyarah Perubatan Jabatan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Dr Faiz Daud.

Beliau berkata, kandungan kimia beracun di dalam rokok seludup seperti arsenik, kadmium, tar dan nikotin lebih tinggi daripada paras dibenarkan Kementerian Kesihatan dan ia sekali gus mengundang risiko penyakit dua kali ganda

Menurutnya, diagnosis yang biasa dikaitkan dengan tembakau ialah Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) contohnya seperti kanser, penyakit jantung, pernafasan kronik, strok dan paru-paru.

“Harga rokok seludup memang murah tetapi risiko lebih tinggi kerana kandungan seperti tar dan nikotin melebihi dari kadar ditetapkan.

“Namun, sebenarnya perokok membayar harga yang mahal sebab mempertaruhkan risiko penurunan tahap kesihatan, malah boleh mengancam nyawa.

“Rokok secara amnya memang bahaya. Tetapi bahaya timbul akibat menghisap rokok seludup yang boleh dibeli murah di pasaran lebih teruk,” katanya.

Beliau berkata, rokok seludup menggandakan risiko kanser dalam kalangan perokok seperti kanser paru-paru, mulut, kerongkong, payu dara, perut dan usus.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Reproduktif Lelaki dan Wanita Dr Ismail Tambi berkata, pengambilan rokok seludup menyebabkan penurunan nafsu syahwat dan kesuburan dalam tempoh singkat.

“Contohnya dari perspektif lelaki, kadar ereksi hanya boleh bertahan kurang dua minit. Malah kandungan rokok tanpa pengawalan kandungan seperti dibenarkan berisiko menyebabkan ereksi kurang padat dan mati pucuk.

“Mengurangkan perasaan ghairah dan teruja disebabkan penurunan hormon testosteron secara mendadak. Untuk orang muda perokok perlu diberitahu bahawa gangguan ereksi tak kekal lama akhirnya juga mendorong zakar makin lama makin mengecut,” katanya.

Katanya, rokok seludup yang terisi kandungan kimia yang tinggi mengakibatkan masalah kualiti sperma, sekali gus penghalang kesuburan.

“Ini juga boleh menyebabkan perokok mengalami kadar ketagihan lebih tinggi dan menyukarkan mereka menghentikan tabiat merokok,” katanya.

Berikutan itu, jika mahu berhenti daripada merokok buat sekarang, namun jangan menjadikan alasan bertukar kepada menghisap rokok seludup sebagai cara untuk berhenti merokok.

Disiarkan pada: July 9, 2015 @ 8:55am
d