mutakhir

Penagih curi tabung masjid

Kuantan: Kehadiran seorang lelaki yang merayau di sekitar masjid hingga menimbulkan curiga jemaah terbongkar apabila dia sebenarnya menunggu peluang mencuri wang tabung masjid dalam kejadian di Masjid Taman Gambang Damai, dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu terbongkar apabila jemaah masjid yang bimbang perkara tidak diingini berlaku menghubungi pihak berkuasa sebelum anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Gambang tiba untuk melakukan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, polis cuba menahan suspek berusia 26 tahun itu untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap melarikan diri menyebabkan anggota polis mengejarnya sebelum ditahan kira-kira 100 meter dari masjid.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku mencuri duit tabung masjid, tiga hari lalu kira-kira RM116 menggunakan dawai ketika jemaah pulang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari bandar ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk tindakan lanjut. Ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Lelaki itu juga mengaku berada di pekarangan masjid bagi mencari peluang mencuri duit tabung dipercayai untuk membeli dadah,” katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2015 @ 5:09am
d