mutakhir

Sejarah baru tercipta

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Projek pembinaan Kompleks Nasyrul Quran iaitu pusat pencetakan al-Quran kedua terbesar dunia di Presint 14, bakal mencipta sejarah bagi negara kerana ia dianggap sebagai satu manifestasi kegigihan kerajaan untuk meninggikan syiar Islam tanpa mengenal erti jemu dan penat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau menggambarkan kompleks berkenaan bakal menjadi pusat percetakan, penjilidan, pentafsiran, penterjemahan dan penerbitan al-Quran tersohor seantero dunia.

“Pembinaannya di Putrajaya pula tepat kerana ia pusat pentadbiran negara,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis perasmian tapak kompleks berkenaan, semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Ahmad Maslan, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat dan Pengerusi Yayasan Restu Datuk Latif Mirasa.

Katanya, projek pembangunan bernilai RM60 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas dua hektar membabitkan pembinaan bangunan, mesin cetak dan mesin jilid yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun depan.

Najib berkata, kerajaan juga bersetuju memperuntukkan dana RM30 juta bagi pembinaan kompleks itu malah, baki kos pembinaan RM30 juta pula disumbangkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pengumuman pembinaan kompleks berkenaan dibuat Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2015 dan ia akan dibangunkan dengan kerjasama Yayasan Restu.

Pembangunan kompleks itu turut disokong Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Perbadanan Putrajaya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Ia dibangunkan membabitkan dua fasa iaitu pembinaan kawasan kilang dan tempat mesin percetakan serta jentera selain pembinaan pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat, dewan ruangan utama, pusat latihan kemahiran dan galeri pameran serta surau.

Disiarkan pada: July 11, 2015 @ 5:10am
d