mutakhir

Tuah menabung 11 tahun

Oleh Syahid Sokri

Jitra : Tabiat gemar menyimpan menerusi Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) selama 11 tahun membuahkan hasil kepada seorang suri rumah apabila berjaya memenangi sebuah Perodua Axia sempena cabutan bertuah SSP BSN, semalam.

Chiam Lili, 45, dari Alor Setar berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh suaminya yang dia memenangi cabutan bertuah itu menerusi SSP yang dibeli sejak 11 tahun lalu pada 29 Jun lalu.

Menurutnya, pada masa sama dia langsung tidak menyangka mampu memperoleh sebuah kereta daripada tabiat suka menyimpan wang di bank.

“Sebenarnya saya sangat gembira dan terbayang kereta yang bakal dimiliki apabila dimaklumkan kemenangan itu lalu terus pergi ke BSN Kuala Nerang bersama suami untuk proses penebusan hadiah.

“Saya bernasib baik apabila nombor SSP saya terpilih dan memang teruja untuk memandu kereta ini pulang ke rumah walaupun sudah memiliki empat kereta lain,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian SSP Cabutan Tempatan di BSN Jitra, di sini.

Hadir sama, Pengarah Perniagaan BSN negeri Kedah/Perlis Abdul Rani Saad.

Menurutnya, walaupun pada awalnya tidak pernah terfikir untuk memenangi kereta, namun dia berterima kasih kepada BSN yang menganjurkan cabutan bertuah seperti itu.

“Saya berterima kasih kepada BSN kerana menganjurkan cabutan bertuah yang memberi peluang kepada pemegang SSP memenangi hadiah hebat seperti ini.

“Selain itu, ia juga penghargaan kepada penyimpan yang sentiasa mempercayai bank berkenaan menyediakan perkhidmatan terbaik. Bayangkan saya hanya membeli SSP dengan harga RM2,000 tetapi pulangan yang saya dapat lebih banyak,” katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2015 @ 5:12am
d