mutakhir

Gelabah lalok

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Tindakan seorang lelaki berusia 22 tahun melarikan diri daripada sekatan polis di Persiaran Perbandaran, dekat sini, awal pagi semalam, membawa kepada penemuan beberapa peket dadah jenis syabu di dalam poket seluarnya.

Sebelum itu lelaki cuba melarikan diri, namun motosikalnya hilang kawalan dan terbabas.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, selepas diperiksa, polis menemui beberapa peket dadah manakala suspek memandu tanpa lesen.

“Kami mengadakan sekatan jalan raya sempena Op Samseng Jalanan dan suspek cuba melarikan diri ketika ternampak sekatan ini.

“Bagaimanapun dia terbabas dan kami yakin suspek menunggang motosikal dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya suspek dalam perjalanan menghantar dadah kepada pelanggan.

Beliau berkata, suspek ditahan atas beberapa kesalahan termasuk memiliki dadah, menunggang dalam keadaan berbahaya dan memandu tanpa lesen manakala motosikalnya disita.

Sementara itu, dalam operasi mulai jam 12 tengah malam dan berakhir 3 pagi itu, polis menyita lima kereta dan 25 motosikal serta mengeluarkan 257 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

Goh berkata, jalan sekitar Persiaran Bandaran dan Dataran Kemerdekaan Shah Alam menjadi tempat tumpuan remaja berkumpul pada malam minggu.

Disiarkan pada: July 13, 2015 @ 5:07am
d