mutakhir

Teliti sebaik mungkin

Oleh Mohd Fauzi Abdullah dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Pekan: Kerajaan hanya akan membuat keputusan membeli 37 peratus ekuiti syarikat perladangan sawit ketiga terbesar Indonesia, PT Eagle High Plantations (EHP) daripada Rajawali Group selepas mengambil pandangan pihak ketiga terlebih dulu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan menerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) akan melakukan penelitian sebaik mungkin sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.

Katanya, pembelian itu tidak dilakukan secara terburu-buru kerana perlu mengambil kira manfaatnya kepada pelbagai pihak khususnya peneroka FELDA dari segi keuntungan yang bakal diperoleh.

“Peringkat pertama adalah kita memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dan kedua kita ambil pandangan daripada peneroka, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), PNB (Permodalan Nasional Berhad) dan mendapatkan penilaian pihak ketiga.

“Kita juga sudah menghantar pasukan untuk melihat keadaan di Kalimantan dan Papua (New Guinea),” katanya pada program Rahmat Ramadan 2015 warga FELDA Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di pekarangan Masjid FELDA Chini 5, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini Datuk Abu Bakar Harun.

Najib berkata, rancangan membeli ekuiti berkenaan dilakukan berikutan FGV kini kekurangan tanah untuk dimajukan bagi penanaman kelapa sawit manakala Indonesia mempunyai kawasan ladang yang luas.

Menurutnya, sebagai Perdana Menteri beliau akan melakukan yang terbaik dengan merangka pelbagai program bagi memastikan peneroka FELDA dapat hidup dengan selesa.

“Kita jangan mudah percaya dengan apa dimuat naik di laman sosial kerana tidak semua dipaparkan benar kerana laman sosial ini hanya satu wahana untuk menyampaikan berita.

“Kita perlu membuat penilai sewajarnya kerana ia penting untuk menjaga ikatan (yang terjalin) dan keharmonian negara,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2015 @ 7:18am
d