mutakhir

'Ramai anggap kerja gila'

Shah Alam: “Alhamdulillah setakat ini rezeki sentiasa ada, kadangkala terpaksa menolak kerana tidak mampu menguruskannya. “Jika rezeki baik, dapatlah upah lebih, biasanya upah yang dapat sekitar RM100 hingga RM200 sehari,” kata Ahmad Faizal Murtadza, 25, penghantar barang yang mengamalkan prinsip tidak berkira dengan upah diberikan, asalkan ia ikhlas serta membawa rezeki halal buatnya sekeluarga.

Bapa kepada seorang anak berusia empat bulan menjalankan pekerjaan itu kira-kira tujuh bulan lalu selepas mengambil keputusan berhenti daripada menjual nasi lemak kerana kasihankan isteri, Aqlema Ilias, 28, yang sedang sarat mengandung.

“Ramai yang menganggap saya buat kerja gila dan mengatakan kerja ini tidak bertahan lama...bagaimanapun saya tidak mengambil pusing kata-kata yang dilontar.

“Saya lakukan kerja ini bukan saja atas dasar mencari rezeki, tetapi lebih kepada menolong orang iaitu memudahkan urusan harian mereka yang perlu.

“Soal upah bukan perkara penting, saya serahkan kepada pelanggan untuk memberi seikhlas hati mereka,” katanya.

Menurut Ahmad Faizal, rutin hariannya sebagai penghantar barang tidak mengira masa, tetapi dia puas dan seronok kerana tidak terikat dengan majikan serta mempunyai masa bersama keluarga.

“Pernah saya dihubungi satu syarikat pada waktu malam yang meminta saya menghantar satu dokumen ke Skudai, Johor.

“Awalnya saya enggan terima kerana memikirkan keadaan isteri yang sarat mengandung, tetapi pihak syarikat itu merayu kerana mendakwa bakal disaman sekiranya dokumen lewat sampai.

“Disebabkan kasihan, saya tunaikan dan bertolak tengah malamnya. Isteri turut dibawa bersama. Syukur saya dapat serahkan dokumen itu tepat pada masanya,” katanya.

Ahmad Faizal yang menyediakan perkhidmatan penghantar pelbagai jenis barangan termasuk makanan boleh dihubungi di laman sosial Facebook Ahmad FZL.

Disiarkan pada: July 13, 2015 @ 7:20am
d