mutakhir

Mohon berkat salin al-Quran

Shah Alam: Proses penyalinan semula ayat suci al-Quran bukan semudah yang disangka kerana penulisnya juga perlu menjaga kebersihan serta adab pada setiap masa bagi memastikan kesucian ayat suci itu sentiasa terpelihara.

Kerana itu, setiap pagi, sebelum proses penyalinan ayat suci al-Quran dijalankan, penulisnya akan melakukan solat Dhuha dan solat hajat berjemaah bagi memohon keberkatan daripada Allah SWT.

Pada masa sama, penulisnya juga perlu sentiasa dalam keadaan berwuduk demi menjaga kesucian ayat suci berkenaan.

Ketua Jabatan Kaligrafi Yayasan Restu Mohd Zulfikri Mohd Sobri berkata, al-Quran adalah kata-kata Allah SWT, justeru, persediaan teliti dilakukan sebelum penyalinannya.

“Menyalin ayat al-Quran berbeza dengan menulis penulisan biasa. Ada adab tertentu yang harus dipatuhi sama seperti membaca al-Quran seperti penyalin perlu menghadap tulisan ketika menyalin dan bukan daripada tepi.

“Penyalin juga perlu memakai baju lengan panjang atau sekurang-kurangnya pelapik di atas kertas ketika proses penyalinan dijalankan. Adab menyalin ini sama seperti mengaji al-Quran yang perlu dijaga tata susilanya, sambil menyalin kita akan membaca dan secara tidak langsung kita akan ingat ayat al-Quran berkenaan,” katanya.

Menurutnya, tiada tempoh waktu ditetapkan menyalin sehelai lembaran ayat al-Quran kerana kemahiran dan kepantasan setiap penyalin berbeza.

Ada yang dapat menyiapkannya awal dan sebaliknya kerana ia memerlukan ‘jiwa’ ketika bekerja bagi menghasilkan kualiti terbaik.

Disiarkan pada: July 13, 2015 @ 7:23am
d