mutakhir

4 tahun rindu anak

Oleh Abu Bakar Al Sidek

Teluk lntan: “Sudah lima kali Syawal, tetapi saya belum dapat mengambil anak lelaki saya daripada jagaan bekas ibu mentua,” kata Rasyidah Radzi, 25.

Anak lelakinya, Syazmil Daniel Thever Alif Ramadhan, 5, kini dipelihara neneknya beragama Hindu selepas suaminya, Alif Ramadhan Devar, 37, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 16 Julai 2012.

Rasyidah berkata, beberapa bulan sebelum suaminya meninggal, mereka tinggal berasingan kerana masalah rumah tangga dan dalam proses untuk bercerai pada ketika itu.

“Saya tidak berpeluang langsung menemui Syazmil kerana dikawal ketat dan disembunyikan bekas ibu mentua.

“Bekas ibu mentua juga sering berpindah ke rumah anaknya di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk mengelak saya datang mengambil anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 3 1/2 Kampung Batak Rabit, di sini, semalam.

Media sebelum ini pernah melaporkan Syazmil hilang ketika ibu serta keluarganya sibuk menguruskan jenazah bapanya di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Rasyidah yang berniaga ikan di pasar, di sini berkata, dia pernah dua kali membuat aduan polis pada 12 Ogos dan 14 Disember tahun sama namun tidak dapat dibantu kerana kes berkenaan bukan kes jenayah, tetapi kes sivil di bawah bidang kuasa Jabatan Agama lslam Perak (JAIPk).

Katanya, dia mengemukakan kes itu kepada Mahkamah Tinggi Syariah Perak dan susulan itu hakim mengeluarkan perintah meminta polis membantu mendapatkan semula Syazmil, namun gagal.

“Dalam tempoh lima tahun, saya beberapa kali berulang-alik ke JAIPk dan Jabatan Agama lslam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kuala Lumpur dengan membawa surat perintah Mahkamah Tinggi Syariah Perak, namun tetap tidak berhasil.

“Sebagai ibu saya bimbang akidah anak kerana masih dalam jagaan keluarga bukan Islam. Saya sering menangis dan sentiasa berdoa semoga anak segera diselamatkan, saya tidak reda anak murtad jika lambat diselamatkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2015 @ 7:25am
d