mutakhir

Ali si pemburu ketam nipah

Kuantan: Sejarah hitam dilanggar bot nelayan laut dalam kira-kira empat tahun lalu yang hampir meragut nyawa tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus bergelumang aktiviti menangkap ketam nipah menggunakan bito di Sungai Kuantan, di sini, bagi menampung keluarga.

“Masih segar dalam ingatan kejadian ngeri itu apabila bot nelayan terbabit secara tidak sengaja melanggar bot gentian kaca saya menyebabkan saya tercampak ke dalam sungai.

“Malah, ketika itu saya hanya ingat mati terutama apabila melihat bilah kipas bot nelayan yang berputar laju dalam air.

“Untuk mengelak terkena kipas bot nelayan berkenaan, saya kuatkan tenaga dan semangat untuk terus menyelam jauh di bawah bot, umur saya masih panjang apabila selamat daripada kejadian tidak diingini walaupun terpaksa menanggung kerugian harta-benda,” kata Ali @ Aziz Ibrahim, 69.

Dia yang berpengalaman lebih lima tahun sebagai nelayan sungai berkata, kejadian itu menyebabkan bot gentian kacanya pecah dan tenggelam bersama enjin sangkut, namun tekong bot nelayan terbabit membayar ganti rugi dan mengaku kesilapannya.

Ali berkata, setiap hari dia turun ke Sungai Kuantan untuk mengangkat 62 unit bito dengan umpan ikan yang dipasang sepanjang sungai berkenaan.

Katanya, hasil diraih tidak menentu bergantung kepada rezeki dan keadaan semasa air.

“Saya mampu menangkap ketam nipah lebih 3 kilogram (kg) sehari dan jika air sungai masin jumlah tangkapan akan meningkat hingga 5kg, di kawasan tertentu dua hingga tiga ekor ketam pelbagai saiz akan masuk dalam bito dengan umpan ikan.

“Sepanjang bergelar nelayan sungai pernah sekali saya mendapat seekor ketam dengan berat sekilogram, dengan saiz sebesar itu pelbagai andaian muncul namun dengan pengalaman yang ada saya tidak berdepan sebarang masalah,” katanya yang menetap di Kampung Chendering, di sini.

Warga emas mempunyai lapan anak dan lebih 30 cucu itu berkata, dia menjual ketam kepada peraih dengan harga RM30 sekilogram dan permintaan terhadap hidupan berkenaan begitu menggalakkan walaupun harganya dikatakan lebih mahal berbanding ketam laut.

Ali berkata, cabaran sebagai pemburu ketam nipah tidak akan bermakna jika individu terbabit tidak cedera disepit kerana hampir setiap minggu jarinya disepit ketam pelbagai saiz yang begitu ganas terutama apabila terancam.

“Sakit....air mata boleh keluar bila disepit ketam dan bagi mengelak kejadian ini berlaku saya perlu lebih berhati-hati dan bersabar. Sepit ketam terpaksa dipatahkan bagi mengurangkan kesakitan ditanggung dan untuk memisahkan dari jari playar terpaksa digunakan.

“Kerana minat dengan aktiviti ini saya tidak pernah serik, sebagai warga emas kerja ini sesuai dilakukan kerana ia tidak memerlukan tenaga yang banyak. Setiap hari saya mengambil masa antara tiga hingga lima jam saja berada di sungai,” katanya yang turut menjalankan aktiviti memancing udang galah.

Menurutnya, selain ketam nipah, udang galah dan ikan juga terperangkap dalam bito yang dipasang.

“Sungai Kuantan sememangnya banyak dihuni hidupan air yang mampu memberikan sumber pendapatan lumayan kepada nelayan sungai,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2015 @ 5:06am
d