mutakhir

Hilang arah tanpa ayah

Kepala Batas: Nasib enam beradik yang ditinggalkan bapa mereka di Taman Bertam Indah, dekat sini, hingga menjadi viral dalam laman sosial mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menghulurkan bantuan segera kepada keluarga berkenaan, semalam.

Sebelum ini, enam beradik terbabit hilang arah apabila bapa mereka menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu menyebabkan urusan rumah diambil alih Nurul Fitri Aina Salahul Bakri, 15, selaku anak sulung berikutan ibu mereka, Norhayati Md Noh, 40, dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana melahirkan anak ketujuh.

JKM turut meluluskan bantuan bulanan RM450 sebulan selain barang makanan hasil sumbangan kakitangan JKM.

Pegawai JKM Seberang Perai Utara Nor Azura Ahmad berkata, pihaknya mengambil keputusan memberi bantuan bulanan bermula Jun sekali gus membolehkan Norhayati menerima RM900 bermula hujung bulan ini.

“Selain bantuan melalui peruntukan jabatan, kakitangan JKM turut menghulurkan sumbangan peribadi bagi meringankan beban Norhayati dan keluarganya,” katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan nasib enam beradik yang ditinggalkan bapa mereka sejak April lalu menyebabkan mereka hanya bergantung pada ihsan jiran yang menghulurkan juadah berbuka dan sahur.

Sebelum ini, Norhayati mencari rezeki dengan menjual air tebu berhampiran rumah, namun kini dia terperap di rumah kerana baru melahirkan anak ketujuh.

Nurul Fitri Aina Salahul Bakri, 15, Nurul Fitri yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Indah sebelum ini menjaga lima adiknya, Aiman Affin, 11, Nurul Aida Qistina, 9, Aiman Qayyum dan kembarnya Aiman Qayyim, 4, serta Nur Ain Qasih, 3.

Selain jiran, nasib mereka turut mendapat simpati pihak Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang meluluskan bantuan segera RM2,000 selain pihak sekolah serta orang perseorangan yang tampil menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Norhayati berkata, dia tidak membuat persiapan menyambut Aidilfitri manakala baju dan kuih raya semuanya disumbangkan pihak yang prihatin dengan kehidupan keluarganya.

“Saya akan terus menjual air tebu selepas habis pantang bagi menyara kehidupan dengan tujuh anak walaupun mendapat bantuan bulanan,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2015 @ 4:59am
d