mutakhir

Maut digilis bas pulang beraya

Raub: Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri maut apabila motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 340, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa, Noorizuan Hamzah, 27, berasal dari Gua Musang, Kelantan dan bekerja di sebuah kilang di Puchong, Selangor meninggal dunia lima jam selepas dirawat di Hospital Raub (HR).

Ketua Polis Daerah Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa meninggal dunia jam 6.36 pagi semalam, akibat kecederaan parah.

“Mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan menghala ke Gua Musang, Kelantan dari Kuala Lumpur cuba memotong sebuah bas ekspres sebelum terlanggar lubang di atas jalan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian terjatuh dan digilis bas ekspres sama sehingga mengakibatkan lelaki itu parah dari paras pinggang hingga ke kaki.

Menurutnya, pemandu bas ekspres berusia 40 tahun yang berasal dari Kampung Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kelantan dan 42 penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Disiarkan pada: July 16, 2015 @ 5:06am
d