mutakhir

203 terkorban di jalan raya

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Johor mencatatkan kadar kematian paling tinggi dengan 36 kematian diikuti Selangor (29), Pahang (21) dan masing-masing 19 di Perak serta Kelantan sejak Op Selamat 7/2015 dilancarkan 10 Julai lalu.

Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, sehingga kelmarin, kadar kematian akibat kemalangan di seluruh negara meningkat 18 kes menjadikan keseluruhan 203 kematian.

Menurutnya, kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal masih lagi menjadi penyumbang utama peningkatan kadar dengan 123 kematian.

“Polis mengeluarkan 123,190 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan. Saman paling banyak ialah kesalahan memandu laju dengan 61,940 saman.

“Mengikut statistik, 76 kes kemalangan maut berlaku di jalan Persekutuan, 56 di jalan negeri dan 26 di lebuh raya serta 23 di jalan bandar manakala selebihnya 22 kes di jalan lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga, 12,383 kemalangan kereta dilaporkan berlaku di seluruh negara.

Beliau menyarankan orang ramai memandu mengikut had laju yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko kemalangan semasa dalam perjalanan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan termasuk had laju serta tidak memotong di laluan yang tidak selamat.

“Pastikan kenderaan juga dalam keadaan baik dan jika penat berhenti seketika sebelum meneruskan semula perjalanan,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2015 @ 6:34am
d