mutakhir

Tak risau ditahan tentera

Alor Setar: Walaupun gembira dan bersyukur dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri di Malaysia, namun ia tidak dapat memadam kenangan pahit serta sedih ketika menjadi tahanan kem transit sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian dan Padang Besar, selatan Thailand.

Nurul Amin Nobi Hussein, 25, yang berjaya melarikan diri dari kem pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian tahun lalu amat mensyukuri nikmat menyambut Aidilfitri tanpa sebarang perasaan takut ditangkap tentera Myanmar.

“Saya sangat gembira dapat puasa dan sambut Aidilfitri di Malaysia, jauh daripada perasaan takut ditangkap tentera Myanmar.

“Kalau di Myanmar, orang Islam yang berkumpul untuk menunaikan sembahyang di pagi raya sudah pasti akan ditangkap tentera,” katanya baru-baru ini.

Beliau yang ditahan selama dua bulan di kem ‘maut’ di Wang Kelian itu berkata, etnik Rohingya di Myanmar hanya menyambut hari raya secara ala kadar antara sesama anggota keluarga di dalam rumah sendiri dan di kampung mereka.

Tiga hari lalu kata Nurul Amin, beliau menghubungi kedua-dua ibu bapanya di Maungdaw, Myanmar bertanyakan khabar tentang sambutan raya mereka.

“Mereka (ibu bapa) tidak menyambutnya, Aidilfitri sama seperti hari-hari biasa, duduk dalam rumah sahaja,” katanya yang menjadi saksi pelbagai aksi kekejaman oleh pengawal kem pemerdagangan manusia sepanjang dua bulan menjadi tahanan.

Menurut Nurul Amin, umat Islam Rohingya dikehendaki memohon kebenaran daripada pihak tentera jika mereka mahu berkunjung ke kampung melawat sanak-saudara sama ada ketika hari raya atau pada hari-hari biasa kerana jika gagal berbuat demikian boleh mengakibatkan mereka dipenjara untuk tempoh yang lama.

“Umat Islam Rohingya perlu ada surat kelulusan khas daripada tentera untuk ke kampung ibu bapa atau saudara-mara. Mereka (tentera) tidak mahu kita bergerak bebas dan hanya tinggal di rumah dan kampung sendiri,” katanya.

Hari Raya Aidilfitri tahun ini katanya, menjadi lebih istimewa kerana menyambut bersama isterinya, Nur Khaidha Abdul Shukur, 24, serta dua cahaya mata mereka, Mansur Ali berusia empat tahun dan Mohamad Yasir, lima bulan.

Isterinya juga adalah bekas tahanan kem pemerdagangan manusia di Padang Besar, selatan Thailand selama 10 hari tampil menceritakan pengalamannya menjadi saksi terhadap perbuatan merogol tahanan wanita Rohingya oleh pengawal kem transit itu.

“Tahun ini istimewa sedikit, kerana saya boleh membelikan anak-anak saya baju baru untuk hari raya, selain memasak makanan dan kuih tradisional etnik Rohingya. Kami sekeluarga juga bebas berkunjung ke rumah rakan-rakan,” kata Nurul Amin yang kini tinggal di Simpang Kuala, Alor Setar.

Seorang lagi bekas tahanan kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Jahedul Islam, 25, pula berkata umat Islam di Malaysia perlu bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang dikecapi, membolehkan mereka menyambut Aidilfitri.

Beliau yang masih bujang berkata walaupun hatinya amat gembira kerana dapat menyambut hari raya buat pertama kali di Malaysia, namun hati dan ingatannya tetap terhadap keluarga serta sanak saudara yang masih berada di dalam cengkaman dan kekejaman tentera Myanmar.

Selain itu katanya, lebaran tahun ini perasaanya turut diselubungi rasa sedih dan bersalah mengenangkan rakan-rakannya yang menjadi mangsa kekejaman pengawal kem pemerdagangan manusia.

“Saya dan Nurul (Amin Nobi Hussein) adalah antara yang bernasib baik dapat melepaskan diri dari kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian dan menyambut hari raya tahun ini, tetapi ramai yang gagal dan mati di tangan pengawal kem itu. Walaupun gembira menyambut raya, tapi hati masih sedih juga,” katanya.

Polis menemukan 106 jasad mangsa jenayah pemerdagangan manusia dari kem transit sindiket itu di Wang Kelian dan 99 daripada jenazah telah pun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Khairiah Pokok Sena baru-baru ini selepas proses bedah siasat selesai.

– BERNAMA

Disiarkan pada: July 21, 2015 @ 6:35am
d