mutakhir

APMM perlu 30 pesawat

Oleh Amir Abd Hamid

Subang: Unit Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memerlukan 30 pesawat iaitu 15 pesawat dan 15 helikopter untuk mengawal kawasan seluas 60,000 kilometer persegi di seluruh negara.

Pengarah Cawangan Operasi Udara APMM Brigadier Jeneral Rosni Aziz berkata, ketika ini APMM hanya memiliki enam helikopter dan dua pesawat.

Beliau berkata, stesen udara yang menjadi markas operasi utama agensi itu pula hanya satu iaitu di Stesen Udara Subang.

“Apabila kami beroperasi dari Subang, ia sebenarnya akan mengakibatkan pembaziran masa jarak jam penerbangan.

“Contohnya dari Subang ke Kota Kinabalu, Sabah memakan masa 10 jam penerbangan. Pembaziran dari segi kos dalam jangka panjang juga merugikan.

“Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan menjelang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebolehnya sudah ada 10 stesen udara termasuk Subang,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Stesen Udara Maritim Subang, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Stesen Udara Maritim Subang Kapten Maritim Mohamad Izhar Hassan.

Menurut Rosni, lokasi strategik stesen udara APMM yang dikaji ialah Langkawi, Senai, Kerteh dan Kota Bharu untuk Semenanjung manakala Labuan, Sandakan, Tawau (Sabah) serta Bintulu dan Kuching untuk Sarawak.

Secara perkiraan mudah, katanya, setiap stesen itu ditempatkan tiga aset udara menjadikan keseluruhan aset diperlukan adalah 30.

“Kami faham mengenai kos yang perlu ditanggung bagi merealisasikan hasrat ini. Sedangkan untuk menjadikan seorang juruterbang tahu asas penerbangan saja perlu dibelanjakan RM680,000 untuk tempoh 18 bulan.

“Namun, tahap kecekapan dan kesiapsiagaan akan lebih meningkat dengan penambahan aset serta stesen udara strategik bagi mengawal keluasan 60,000 kilometer persegi seluruh negara dipertanggungjawabkan kepada APMM,” katanya.

Selain itu, katanya, APMM juga memerlukan lokap yang digazetkan untuk menahan suspek terbabit dalam kes dikendalikan agensi itu termasuk pelanunan dan rompakan di laut untuk keperluan melengkapkan siasatan sebelum dihantar ke pendakwa raya untuk dibicarakan di mahkamah.

Disiarkan pada: July 22, 2015 @ 6:31am
d