mutakhir

3 baling batu ke arah kenderaan ditahan

Kuala Pilah: Tiga remaja berusia antara 11 hingga 14 tahun ditahan polis dipercayai terbabit kegiatan membaling batu ke arah kenderaan di Kilometer 30, Jalan Kuala Pilah-Seremban, berhampiran Kampung Salok Paku, Terachi, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, ketiga-tiga remaja itu ditahan selepas laporan dibuat mangsa iaitu seorang pemandu lori dan seorang pemandu kereta.

Katanya, dalam kejadian jam 3 pagi, kedua-dua mangsa lelaki berusia 20 dan 25 tahun memandu dari Kuala Pilah menuju ke Seremban dikejutkan dengan lontaran batu.

“Akibat balingan berkenaan, kedua-dua kenderaan pecah cermin hadapan menyebabkan mangsa bertindak keluar dari kenderaan dan ternampak tiga remaja lelaki melarikan diri dalam semak berhampiran.

“Berikutan kawasan kejadian berhampiran lampu jalan, mangsa sempat mengecam tiga remaja terbabit,” katanya memaklumkan dua mangsa membuat laporan selepas kejadian.

Azmi berkata, sejurus laporan diterima, sepasukan anggotanya dikerahkan ke lokasi pada jam 3.30 pagi bagi menjalankan siasatan.

“Anggota kami berjaya mengesan ketiga-tiga suspek yang bersembunyi dalam semak terletak kira-kira tiga meter dari laluan utama,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu, dua mangsa kerugian kira-kira RM1,500.

“Biarpun perbuatan ini sekadar ‘suka-suka’, ia perlu dipandang serius ibu bapa kerana merosakkan harta benda awam,” tegasnya.

Disiarkan pada: July 22, 2015 @ 6:44am
d