mutakhir

Nenek miliki dadah dipenjara empat bulan

Kuala Lumpur: Seorang nenek berusia 57 tahun dipenjara empat bulan atas kesalahan memiliki dadah jenis morfin dan heroin, bulan lalu.

Majistret Jesseca Daimis menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zainun Awang, selepas wanita terbabit mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh dia ditangkap, 8 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki tiga plastik lutsinar mengandungi 0.29 gram heroin dan 0.03 gram morfin di kawasan Jalan Tun Razak, di sini, jam 8.15 malam pada 8 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwa raya kes berkenaan, Asisten Superintendan Nom Phot Prackdit memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal.

Bagaimanapun, Zainun yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah meringankan hukumannya atas alasan tidak dapat menerima hakikat pemergian anak perempuannya dalam kemalangan jalan raya, tahun lalu.

“Saya mengalami tekanan perasaan akibat kematian anak perempuan saya dan perlu menjaga cucu yang kini dijaga rakan karib,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2015 @ 6:54am
d