mutakhir

Usah main isu bai'ah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: “Dalam hukum Islam, sekali kita sebut, ia akan beri kesan berpanjangan, bukan untuk hari ini atau esok,” kata Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob.

Beliau mengulas mengenai bai’ah kesetiaan membabitkan pemimpin parti itu yang diperjelaskan sebagai ikatan sumpah yang tidak boleh dilanggar begitu saja apabila mahu keluar parti.

Menurutnya, bai’ah PAS sudah diamalkan sejak 2004 mengikut lunas Islam dan mengakui ia adalah ikrar taat setia yang menuntut ketaatan serta kepatuhan terhadap parti.

“Bai’ah ini memang betul ada dan diamalkan, sejak 2004.

“Apabila ia berlaku, dalam hukum Islam, sekali kita sebut, ia beri kesan berpanjangan seperti mana (kenyataan) yang dikeluarkan Ketua Hakim Syarie Kelantan (Datuk Daud Muhammad).

“Jangan main-main dengan perkara ini. Ia ada kesannya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Mahasiswa Kelantan sempena sambutan Aidilfitri di Balai Islam Lundang, di sini, semalam.

Isu bai’ah PAS timbul selepas dibangkitkan kepimpinan PAS selepas kelompok progresif parti yang tewas dalam pemilihan ketika Muktamar Tahunan lalu giat mempromosikan Gerakan Harapan Baru (GHB), parti baharu menggantikan PAS.

Malah, Daud dalam dipetik berkata, bai’ah dilafazkan ahli PAS adalah talak yang sah dan hakiki walaupun ia dilafazkan secara bersumpah, berikrar atau bergurau, justeru, tidak boleh dipermainkan sewenang-wenangnya.

Katanya, sumpah bai’ah talak tiga yang dilafazkan ahli PAS juga memerlukan mereka membuat pengesahan di Mahkamah Syariah, malah tidak boleh dielakkan dengan kafarah atau bayar denda sumpah.

Mengulas lanjut, Ahmad mahu pihak yang berhasrat melanggar bai’ah diikrar supaya tidak mempermainkan sumpah itu.

Beliau juga menyelar tindakan wakil rakyat PAS yang berhasrat menyertai GHB supaya keluar parti secara terhormat dan melepaskan jawatan.

“Keahlian mereka terlucut secara automatik dengan parti lama jika mahu bersama parti baru,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2015 @ 6:43am
d