mutakhir

'TBR 1' RM125,000

Kuala Terengganu: Seorang ahli perniagaan dari Johor berjaya dalam bidaan untuk memiliki nombor pendaftaran kenderaan ‘TBR 1’ dengan nilai RM125,000, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie berkata, ahli perniagaan itu mengetepikan lima pesaing yang turut berminat mendapatkan nombor pendaftaran yang ditawarkan itu.

“Sebaik saja tender bidaan dibuka pada 21 Januari dan ditutup pada 4 Februari, Ahli Jawatankuasa Penilai Pendaftaran JPJ bagi nombor pendaftaran TBR mendapati ahli perniagaan itu membida nombor pendaftaran berkenaan dengan harga paling tinggi.

“Terdapat lima individu termasuk seorang dari Terengganu membida nombor terbabit termasuk ahli perniagaan itu. Selain TBR 1, nombor pendaftaran TBR2 turut dibida pada harga RM33,100 diikuti TBR 3 (RM21,600),” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, walaupun jumlah bidaan itu agak tinggi, ia masih tidak dapat memecahkan rekod jualan tertinggi nombor pendaftaran yang dikeluarkan JPJ negeri iaitu ‘TAY 1’ yang mencecah RM242,000.

“Nombor itu dibeli seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur pada 2010,” katanya.

Abdul Rahman berkata, seramai 734 peminat nombor pendaftaran menyertai bidaan dengan seramai 312 peserta berjaya memenangi nombor pendaftaran kenderaan kegemaran masing-masing manakala 422 pembida gagal apabila tempuh berkenaan (bidaan) tamat pada Februari lalu.

Beliau berkata, selain ‘TAY 1’, nombor pendaftaran lain yang dikeluarkan oleh JPJ Terengganu dan dijual dengan harga yang tinggi adalah nombor pendaftaran ‘TAX 1’ dengan nilai RM165,000 diikuti TBQ 1 (RM99,000).

“Memang menjadi ‘trend’ sesetengah pihak membeli nombor pendaftaran untuk kenderaan baru sehingga mencecah ratusan ribu ringgit, malah ada antaranya nombor pendaftaran lebih mahal berbanding kenderaan itu sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2015 @ 8:04am
d