mutakhir

Ingat! Hari gaji lama lagi

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Biarpun masih berada dalam suasana raya, orang ramai diingatkan supaya menguruskan kewangan dengan cermat berikutan kakitangan awam serta kebanyakan kakitangan swasta menerima gaji awal yang dibayar sebelum sambutan Aidilfitri lalu.

Pengurus Jabatan Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang (AKPK), Desmond Chong berkata, kegagalan menguruskan kewangan terutama selepas sambutan Aidilfitri kemungkinan akan menyebabkan ramai terpaksa ‘ikat perut’ sebelum menerima gaji bulan berikutnya.

Katanya, antara langkah yang boleh dilakukan ialah sentiasa mendisiplinkan diri masing-masing untuk berbelanja mengikut bajet yang ditetapkan saja.

“Ketika menjelang hari raya, kebiasaannya majikan akan membayar gaji lebih awal daripada biasa bagi membolehkan kita membeli kelengkapan Aidilfitri.

“Apabila mendapat gaji awal, ramai akan teruja namun akhirnya terpaksa ‘ikat perut’ selepas hari raya kerana gaji bulan berikutnya masih jauh.

“Jika berbelanja mengikut bajet, pastikan semua perbelanjaan itu direkodkan dan kenal pasti perbelanjaan yang tidak penting. Pada masa sama, bincang dengan keluarga atau rakan mengenai cara untuk mengurangkan perbelanjaan pada masa depan,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Pembayaran awal gaji yang dibayar kepada kakitangan awam pada 9 Julai lalu menyebabkan mereka terpaksa menunggu selama 46 hari untuk menerima gaji Ogos.

Gaji awal yang dibayar itu bagi membolehkan orang ramai membuat segala persiapan untuk menyambut 1 Syawal.

Selain itu, Chong berkata, tabungan alternatif juga dianggap sebagai satu cara untuk mengatasi krisis kewangan yang akan dihadapi selepas musim perayaan.

Katanya, pengguna kad kredit khususnya perlu membayar balik dengan amaun penuh tanpa ada bayaran tertunggak memandangkan caj faedah dikenakan sebanyak 18 peratus setahun.

“Sekiranya terlebih perbelanjaan, kira dan periksa semua apa yang sudah dibelanjakan ketika sambutan hari raya.

“Jika berbelanja menggunakan kad kredit, periksa resit dan pastikan semua amaun itu dibayar tanpa ada bayaran tertunggak.

“Selain itu, buat bajet untuk mengawal perbelanjaan masing-masing serta rekodkan perbelanjaan harian. Elakkan daripada membuat pinjaman baru atau pendahuluan tunai untuk membayar pinjaman sedia ada,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2015 @ 8:06am
d