mutakhir

PM mahu audit keselamatan

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu audit keselamatan dilakukan terhadap perkhidmatan LRT berikutan insiden kerosakan brek di dua lokasi berasingan di sini hari ini.

“Saya bersyukur tiada yang cedera dalam kejadian membabitkan LRT di hentian Setiawangsa dan Universiti.

“Satu audit keselamatan perlu dilakukan agar keselamatan para penumpang sentiasa diutamakan,” katanya dalam laman Facebook dan Twitternya.

Dalam kejadian itu, dua tren LRT Laluan Kelana Jaya mengalami masalah sistem brek, satu berdekatan Stesen Universiti, Petaling Jaya dan satu lagi di Stesen Setiawangsa.

Kedua-dua insiden menyebabkan gangguan di laluan itu serta menyebabkan keadaan dua-dua tren berkenaan diselubungi asap.

Kejadian pertama berlaku di Stesen Setiawangsa pada jam jam 8 pagi dan kejadian kedua pada jam 12.18 tengah hari ini.

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan di sini berkata syarikat berkenaan menyedari masalah kegagalan brek tren berkenaan dan telah mengambil langkah untuk membaikinya dengan memasang brek baharu pada 35 tren empat gerabak berkenaan.

Langkah sementara itu dilakukan sementara menunggu syarikat pengeluar tren Bombardier dan Knorr Brake tampil dengan pelan penyelesaian jangka panjang sambil ia mengakui terdapat masalah dalam reka bentuk.

– BERNAMA

Disiarkan pada: July 23, 2015 @ 8:13am
d