mutakhir

Bayi meninggal tersedak susu

Gombak: Sepasang suami isteri tidak dapat menahan sebak apabila bayi perempuan mereka berusia lima bulan mati mengejut akibat tersedak susu.

Kejadian hanya diketahui jam 11 pagi kelmarin, selepas bayi itu dihantar ke pusat asuhan di Sri Gombak di sini, untuk dijaga pengasuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Muhammed Hasbullah Ali berkata, bapa mangsa berusia 45 tahun dimaklumkan kakitangan pusat asuhan itu selepas mendapati anaknya tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, bapa mangsa segera membawa bayinya itu ke hospital untuk rawatan lanjut selepas usaha memberikan rawatan pernafasan mulut ke mulut (CPR) gagal.

“Sebaik tiba di Pusat Medikal Gombak di sini, anak mangsa disahkan meninggal dunia. Bapa mangsa sebelum itu mendakwa anaknya dihantar ke pusat asuhan pada jam 8.30 pagi dalam keadaan baik sebelum dia dimaklumkan kejadian itu pada jam 11 pagi,” katanya.

Muhammed Hasbullah memberitahu, siasatan awal terhadap bayi itu mendapati tiada kesan kecederaan fizikal pada badan mangsa.

“Mayat bayi dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa yang juga anak bongsu daripada tiga beradik disahkan maut akibat tersedak air (aspiration) atau air berlebihan dalam badan,” katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2015 @ 7:44am
d