mutakhir

PM terima ribuan ucapan hari lahir

Kuala Lumpur: Ribuan ucapan selamat, doa dan harapan ditujukan khas untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan hari jadi beliau ke-62, semalam.

Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang adalah anak sulung kepada Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein.

Ucapan dan harapan itu bukan saja disampaikan Menteri Kabinet malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat jelata menerusi akaun Facebook dan Twitter masing-masing dengan mendoakan Najib sentiasa dirahmati dalam urus tadbir negara ketika negara mengalami pelbagai cabaran.

Najib dalam reaksinya berkata, beliau terkejut dengan sambutan diberikan khasnya kakitangan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan sangat menghargainya.

“Saya dikejutkan dengan kek di pejabat tadi. Terima kasih atas ucapan selamat hari jadi,” katanya menerusi akaun Facebook dan Twitternya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein misalnya menulis “Happy Birthday PM ‘@FriendsofBN1:’ Tiada sesiapa boleh memecah-belahkan perpaduan antara kaum di Malaysia yang sudah lama terjalin.”

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menerusi Twitternya @shaberyc pula mengucapkan “Selamat Hari Lahir Datuk Seri Najib! Semoga sabar dan ikhlas jadi kekuatan dalam laksana tugas dan tanggungjawab.”

Turut menyampaikan ucapan adalah Naib Ketua Puteri Malaysia merangkap Ketua Puteri Bahagian Pandan Zahida Zarik Khan yang turut memuat naik poster Najib memotong kek hari jadi.

‘Happy birthday Dato Sri Najib semoga tabah menghadapi apa juga cabaran’,” katanya dalam akaun Twitternya Zahida Zarik Khan @ZahidaZK.

Sementara itu, antara individu yang turut berkongsi ucapan terhadap Perdana Menteri ialah Nur Ashilah, Wan Razaki Mohd Yusof, Asiah Mohd Nordin dan Kelab Belia Angkatan Satria.

Mereka antara lain mendoakan Najib dimurahkan rezeki dan dilindungi serta dipermudahkan dalam menjalankan urusan pentadbiran negara.

Dalam perkembangan lain, Najib menyampaikan takziah serta mendoakan kesejahteraan ke atas roh bekas Pengerusi Tabung Haji dan POS Malaysia Bhd, Tan Sri Zainol Mahmood, 78, yang meninggal dunia semalam di Hospital Prince Court, di sini.

Disiarkan pada: July 24, 2015 @ 8:37am
d