mutakhir

Rumah 'pengantin' sepi

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Rumah Transit 1Malaysia (RT1M) di Pinggiran Bukit Jalil, di sini, yang dibuka secara berperingkat-peringkat kepada pemohon mulai awal tahun ini seperti kurang sambutan berikutan banyak unit masih tidak berpenghuni.

Tinjauan Harian Metro ke penempatan sementara bagi pasangan muda baru berkahwin itu kelihatan sunyi dan daripada 17 tingkat blok L, hanya 10 tingkat ke bawah dilihat berpenghuni manakala blok M di sebelahnya kosong.

Difahamkan, lebih 400 pasangan muda berkahwin berusia bawah 30 tahun terpilih menjadi kumpulan pertama menduduki rumah tiga bilik dua bilik air berkenaan mulai Januari lalu dengan kadar sewa RM250 sebulan.

Suri rumah Nurmariana Asmaullah, 28, menyifatkan fasiliti disediakan di perumahan itu memuaskan, namun sunyi terutama pada waktu siang ketika penghuni keluar bekerja berikutan masih kurang dihuni penduduk.

“Saya lihat blok ini masih tak ramai orang duduk, mungkin kawasannya yang agak ke dalam dan akses jaringan pengangkutan kurang iaitu setengah jam satu bas atau faktor kesesakan di jalan utama terutama ketika waktu pergi dan balik kerja.

“Namun, dari segi kemudahan lain kami berpuas hati kerana tempat ini bukan saja selesa untuk kami tiga beranak, pada masa sama soal keselamatan juga terjamin kerana ada pengawal keselamatan menjaga di pintu masuk,” katanya.

Nurul Sofea Ramli, 26, yang mempunyai seorang anak berusia dua tahun pula berpindah ke rumah berkenaan Mei lalu selepas menerima tawaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kami pada asalnya mohon Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan DBKL pada 2013, namun tak sangka mendapat tawaran menetap dua tahun di rumah transit ini.

“Dulu, kami menetap di Jalan Kuchai dengan sewa bulanan RM570 sebulan. Bayangkan dengan pendapatan suami kira-kira RM2,000 sukar bagi kami tiga beranak hidup di bandar besar seperti ini.

“Saya rasa bersyukur kerana terpilih menyewa rumah ini, sekurang-kurangnya kami boleh berjimat sementara mengumpul duit untuk beli rumah sendiri,” katanya.

Nurul Sofea berharap kerajaan akan mempertimbangkan tempoh menetap sementara iaitu dua tahun itu dilanjutkan lagi untuk beberapa tahun bagi membolehkan golongan sepertinya menyimpan dengan secukupnya sebelum membeli rumah impian.

Disiarkan pada: July 24, 2015 @ 8:38am
d