mutakhir

Sheikh Usamah imamkan solat Jumaat

Langkawi: Lebih 1,000 jemaah Masjid Riyadhus Solihin, Kampung Padang Lalang, Ayer Hangat, dekat sini, menunaikan solat Jumaat dengan diimamkan Imam Masjid Nabawi, Madinah, Sheikh Usamah Muhammad Iqbal Sheikh Muhammad, semalam.

Ketibaan Sheikh Usamah Muhammad Iqbal, 35, sebelum itu disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Kerja Raya, Pelancongan dan Warisan negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Sejurus selesai solat Jumaat, Sheikh Usamah Muhammad Iqbal meluangkan masa 30 minit untuk bergambar kenangan dengan jemaah yang membabitkan penduduk tempatan dan pelancong.

Tetamu dari Arab Saudi itu berada di negara ini sejak pertengahan Jun lalu untuk mengimamkan solat Tarawih di beberapa masjid sebelum tiba di pulau ini untuk bercuti bersama keluarga, Rabu lalu.

Beliau yang diiringi Mohd Rawi turut meluangkan masa melawat tapak pembinaan Maahad Tahfiz Al-Quran Ar-Rawi bersebelahan masjid yang pembinaannya kini mencapai status 20 peratus.

Mohd Rawi berkata, kehadiran Sheikh Usamah Muhammad Iqbal boleh membawa impak kepada sektor pelancongan di Langkawi.

“Kedatangan imam ini untuk bercuti di Langkawi diyakini mampu menarik minat warga Asia Barat untuk ikut langkah sama,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2015 @ 5:07am
d