mutakhir

Sedia timbang semula

Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Kerajaan bersedia untuk menimbang semula cadangan untuk menurunkan kos pengambilan lesen memandu khususnya motosikal bagi membantu meringankan beban yang ditanggung golongan remaja.

Ini disebabkan golongan terbabit sering kali ditahan anggota penguat kuasa kerana tidak mempunyai lesen sah selain turut menjadi penyumbang utama kepada kes kemalangan yang berlaku di jalan raya.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Dr Ismail Bakar berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara itu namun ia akan dibincangkan semula di peringkat kementeriannya.

Menurutnya, seramai 3,117 penunggang motosikal ditahan kerana tidak mempunyai lesen sah sejak Op Selamat 7/2015 mula dilancarkan 10 Julai lalu.
  “Seramai 5,713 pemandu tidak mempunyai lesen memandu dan sebahagian besarnya adalah penunggang motosikal.

“Bagi kesalahan tiada cukai jalan pula sejumlah 3,417 kenderaan dilaporkan dan 1,889 daripadanya adalah penunggang motosikal,” katanya dalam sidang media selepas operasi sekatan jalan raya, malam kelmarin.

Difahamkan, kos bagi pengambilan lesen motosikal adalah di antara RM350 sehingga hampir RM1,000 bergantung kepada kelas tertentu.

Dr Ismail berkata, pihaknya turut memperkenalkan Skuad Muda JPJ sebagai medium terbaru bagi memudahkan orang ramai termasuk remaja dan warga emas untuk mendapatkan lesen secara sah.

Katanya, ibu bapa juga perlu memberikan kerjasama dengan tidak mengambil mudah anak mereka yang tidak mempunyai lesen tetapi diberi kebenaran untuk menunggang motosikal.

Sementara itu, Dr Ismail berkata, 87,829 kenderaan diperiksa pihaknya sepanjang Op Selamat 7/2015 dan daripada jumlah itu sejumlah 14,377 saman dikeluarkan.

Katanya, dalam empat operasi yang dilakukan di seluruh negara itu, sebanyak 249 kenderaan turut disita atas pelbagai kesalahan.

“Jumlah saman yang dikeluarkan JPJ pada tahun ini adalah antara yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Beberapa faktor seperti pertambahan jumlah kenderaan dan pertambahan operasi turut menjadi punca kepada peningkatan saman yang dikeluarkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2015 @ 5:06am
d