mutakhir

Budak perempuan srikandi keluarga

Rawang: Tiga lelaki bersenjatakan parang yang cuba menyamun sebuah rumah di Kota Emerald, di sini, terpaksa berputih mata selepas perbuatan itu disedari seorang daripada anak mangsa, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.15 petang itu, seorang daripada anak mangsa menyedari kedatangan tiga lelaki bertopeng itu sebelum meminta bantuan jiran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Muhammed Hasbullah Ali berkata, selepas menyedari perbuatan itu disedari anak mangsa, ketiga-tiga suspek cuba mengejar kanak-kanak perempuan itu tetapi gagal sebelum melarikan diri menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima berwarna putih.

“Pemeriksaan mendapati semua mangsa yang berada di rumah selamat selain tiada barang yang hilang.

“Pagar utama rumah terbabit terbuka ketika kejadian disebabkan suami mangsa baru saja keluar untuk mengambil anak di sekolah berhampiran,” katanya.

Hasbullah berkata, pemeriksaan mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Siasatan mendapati suspek tidak sempat mengambil barang di rumah terbabit dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Pihak kami kini giat mengesan suspek yang dipercayai masih berada di daerah ini,” katanya.

Menurut Hasbullah, pengawal keselamatan di setiap perumahan di daerah ini diingatkan supaya mengambil butiran kenderaan yang keluar masuk di perumahan mereka.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan setiap keadaan,” katanya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian menjadi viral di laman sosial sejak semalam.

Disiarkan pada: July 27, 2015 @ 5:00am
d