mutakhir

4 beranak nekad lawan penyamun

Kuala Lumpur: Empat beranak sanggup mempertaruhkan nyawa mereka apabila bertindak melawan empat lelaki bersenjatakan parang yang cuba menyamun di kediaman dua tingkat mereka di Taman Mastiara, Jalan Ipoh, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 2.45 petang, empat beranak terdiri daripada pasangan suami isteri dan dua anak lelaki mereka bertindak berani melawan empat suspek yang turut memakai topeng apabila bertindak merampas parang yang digunakan sebelum bergelut kira-kira lima minit.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, sebelum itu empat suspek bertindak memecah masuk ke kediaman mangsa dengan memanjat pagar automatik sebelum menolak pintu besi rumah berkenaan.

“Sebaik berjaya memasuki kediaman berkenaan, salah seorang suspek bertindak mengacukan parang ke leher isteri mangsa yang berusia 49 tahun. Suspek turut menutup mulut mangsa dan mengarahkannya menyerahkan wang di dalam kediaman berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Bagaimanapun, Munusamy berkata, suami mangsa bersama dua anak lelakinya bertindak berani apabila bergelut dengan tiga lagi suspek di tingkat dua kediaman mereka selepas salah seorang suspek mencederakan anak lelaki mangsa.

“Suspek memukul salah seorang anak lelaki mangsa menggunakan parang sebelum parang yang digunakan jatuh ke lantai. Berang menyaksikan kejadian itu, bapa mangsa kemudian menggunakan parang yang jatuh sebelum menyerang dua suspek sehingga salah seorang suspek jatuh ke tingkat bawah rumah,” katanya.

Katanya, ekoran kejadian itu, semua suspek melarikan diri menggunakan kenderaan MPV Toyota Estima tanpa sempat membawa barangan berharga.

Beliau berkata, semakan ke atas nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan kumpulan suspek adalah palsu dan dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan samun.

Munusamy memberitahu dua mangsa hanya mengalami kecederaan di bahagian kepala serta tangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: July 27, 2015 @ 5:01am
d