mutakhir

Lelaki dakwa nampak pesawat terhempas

Marudi: Seorang lelaki mendakwa melihat pesawat terbakar dan terhempas dalam hutan di Baram, di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 57 tahun itu mendakwa ternampak pesawat tidak diketahui jenis terbakar di udara sebelum terhempas dalam hutan jam 7.15 malam.

Sumber berkata, lelaki yang bekerja sendiri itu mendakwa nampak kejadian berkenaan ketika dia bersama anak lelakinya memandu bot melalui perairan Loagan Tujuh, Baram, di sini.

Susulan itu, lelaki terbabit membuat laporan di Balai Polis Marudi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, polis menghubungi Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Miri dan Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, mereka dimaklumkan semua penerbangan keluar serta masuk ke Miri dan Kota Kinabalu berada dalam keadaan selamat.

“DCA memaklumkan jika ada sebarang kecemasan, mereka akan menerima maklumat daripada mana-mana lapangan terbang atau syarikat penerbangan untuk bantuan. Namun, sehingga kini tiada maklumat diterima.

“Pegawai bertugas DCA Miri menghubungi Pusat Kawalan Udara Brunei dan mereka mengesahkan tiada kejadian berlaku,” katanya.

Menurutnya, setakat ini tiada sumber sahih berkaitan dakwaan lelaki itu.

Disiarkan pada: July 27, 2015 @ 5:02am
d