mutakhir

'Semua masih baik'

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: “Semua masih baik dalam keluarga kami.” Itu reaksi ringkas Pengerusi CIMB Group Holdings Berhad Datuk Seri Nazir Razak berhubung keadaan keluarganya di sebalik pelbagai kontroversi.

Adik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu turut berbual mesra bersama abangnya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad dan isteri, Tun Jeanne Abdullah di Dewan Seri Endon, Presint 10, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau ada berbual bersama Najib namun enggan berkongsi dengan media

“Saya ada berbual secara peribadi bersama abang tapi takkanlah saya perlu berkongsi bersama anda (wartawan),” katanya kepada pemberita, semalam.

Ditanya mengenai penggantungan permit akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily, Nazir berkata, beliau berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara dalam menyuarakan pendapat.

Perkara itu adalah rentetan daripada tindakan beliau memuat naik gambar logo ‘The Edge Malaysia’ pada akaun Instagram miliknya, Jumaat lalu.

Menerusi gambar logo berkenaan, beliau menulis naik keterangan iaitu ‘The Edge ialah tonggak komuniti perniagaan, berperanan besar dalam memberi maklumat secara jujur dan kompetitif’.

Nazir turut menulis keterangan iaitu ‘liputan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) agak menonjol, tetapi sekiranya ada kekurangan perlu betulkan atau mengambil tindakan berlandaskan undang-undang’.

Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan iaitu bermula hari ini.

Disiarkan pada: July 27, 2015 @ 5:03am
d