mutakhir

Usia 6 sekeluarga masih panjang

Raub: Enam sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia sembilan tahun berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terhumban ke dalam gaung sedalam 30 meter di Kilometer 101, Jalan Raub-Bukit Fraser, dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 10.20 pagi itu menyebabkan dua penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza parah manakala empat yang lain hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ketika kejadian, kenderaan yang dipandu Samyroy Roxroy, 36, bersama lima penumpang lain dalam perjalanan dari Kampar, Perak, menuju ke bandar ini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Perodua Alza itu dipercayai hilang kawalan apabila berselisih dengan sebuah lori dari arah bertentangan menyebabkannya terjunam ke dalam gaung di sebelah kiri jalan.

“Akibatnya, dua penumpang lelaki dikenali sebagai Jayamalar Roxroy dan Vilamaroy Roxroy masing-masing berusia 30 dan 35 tahun parah manakala yang lain hanya cedera ringan,” katanya,

Beliau berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa sebelum mereka dihantar ke Hospital Raub, di sini, untuk rawatan susulan.

Disiarkan pada: July 27, 2015 @ 5:04am
d