mutakhir

Tunggu siasatan kes buli adik Almy

Georgetown: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, menyerahkan sepenuhnya siasatan kes buli adik bongsu kepada pelakon Almy Nadia di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penang Free di sini, pada Rabu lalu kepada pihak polis.

Pengarah JPN negeri Datuk Osman Hussain berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa keluarga pelajar terbabit sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dengan mendakwa anak mereka ditendang, ditampar dan ditumbuk selepas dipercayai keluar dari asrama tanpa kebenaran.

Beliau berkata, pihaknya enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu kerana masih dalam siasatan.

“Kita tunggu hasil siasatan polis saja dan segala tindakan akan diambil dengan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 malam Rabu lalu, adik bongsu kepada Almy Nadia, Nur Aiman Hakimi Shaiful Chairil @ Khairil, 13, dipercayai dibelasah empat pelajar senior berusia antara 16 hingga 17 tahun selepas dia dikatakan keluar dari asrama tanpa kebenaran untuk membeli makanan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya akan mengambil keterangan daripada semua pelajar.

Disiarkan pada: July 28, 2015 @ 4:43am
d