mutakhir

Gembira dapat sambung belajar

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: “Saya amat bersyukur kerana dapat kembali menyambung pelajaran selepas lebih setahun tidak bersekolah kerana kesempitan hidup, selain perlu menjaga ibu yang terlantar sakit. Saya mahu menunaikan impian mengeluarkan keluarga daripada kelompok kemiskinan.”

Begitu kata Noorafiza Suhaimi, 17, dari Kampung Padang Sadang, Jenalik, Bongor, di sini, bersama adiknya, Mohd Sofian, 15, yang berhenti sekolah demi menjaga ibu mereka Zuraidah Omar, 37, yang sakit terlantar akibat menghidap ketumbuhan otak sejak dua tahun lalu.

Selain itu mereka juga tidak mahu membebankan bapa mereka, Suhaimi Mat Isa, 47, menjaga ibu mereka disebabkan perlu mencari rezeki.

Menurutnya, walaupun sudah berhenti sekolah, dia masih belajar bersendirian di rumah kerana keinginannya untuk menimba ilmu masih menebal tetapi kekangan hidup apabila terpaksa menjaga ibunya menyebabkan dia terpaksa melupakan seketika alam persekolahan.

“Kini saya akan kembali ke sekolah pada minggu depan dan akan menzahirkan harapan dan impian keluarga untuk berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.

“Sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, saya akan berusaha mencapai impian itu demi masa depan keluarga dan adik-adik yang masih kecil. Alhamdulillah dan terima kasih kepada pemimpin setempat yang prihatin melawat kami untuk memberi harapan baru agar bersekolah semula,” katanya.

Noorafiza berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di rumah keluarganya, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak yang turut meluluskan bantuan bulanan melalui Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) sebanyak RM300 sebulan bermula Ogos depan.

Noorafiza berkata, dia juga berterima kasih selepas Harian Metro menyiarkan kisah hidup mereka apabila pelbagai pihak tampil untuk membantu.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, segala keperluan keluarga itu akan dibantu termasuk menyekolahkan semula anak yang tercicir.

Disiarkan pada: July 28, 2015 @ 4:52am
d