mutakhir

Sedekah padam kemurkaan Allah

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Kita sedia maklum, Islam menggalakkan umatnya bersedekah. Malah, ramai dalam kalangan kita pada Ramadan lalu tampil menghulurkan sedekah sama ada wang tunai ataupun dalam bentuk lain seperti makanan dan pakaian. Mudah-mudahan amalan mulia ini berterusan.

Sedekah mengandungi pel- bagai hikmah dan ganjarannya cukup besar sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.

“Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Jika dapat diperhatikan, amalan sedekah adalah perlambangan ibadat hati yang dizahirkan menerusi perilaku menghulurkan apa-apa juga bentuk sumbangan kepada pihak lain. Ia suatu manifestasi keutuhan ukhuwah sesama umat.

Menurut Imam Ibnu Qayyim, amalan sedekah dengan niat ikhlas kerana Allah akan menjadi penyebab hadirnya perlindungan Allah daripada bala bencana.

Kata beliau: “Sesungguhnya bersedekah itu ada pengaruh yang sangat menakjubkan dalam menolak bala, meskipun ia dikeluarkan oleh seseorang yang berbuat dosa, zalim ataupun kafir.”

Beliau selanjutnya menjelaskan: “Sesungguhnya Allah akan melindungi seseorang daripada musibah dan malapetaka kerana sedekah yang dilakukannya.”

Tegasnya lagi, banyak dalil al-Quran mahupun sunah, fitrah dan pengalaman umat manusia membuktikan amalan mendekatkan diri kepada Allah, mencari redanya dan berbuat baik kepada makhluk Allah adalah faktor penyebab berkesan dalam meraih kebaikan manakala tindakan sebaliknya penyebab paling utama mendatangkan kejahatan.

Selain itu, beliau berkata, sedekah akan menjadi penebus seorang hamba daripada seksa Allah.

Jelas beliau: “Kesalahan dan dosanya akan menghantarkannya menuju kebinasaan dan azab, tetapi sedekah yang dilakukannya akan datang menebusnya daripada azab itu.”

Menurutnya, Rasulullah SAW pernah menyampaikan wasiat kepada wanita pada Aidilfitri mafhumnya: “Wahai setiap wanita, bersedekahlah kamu, meskipun dengan perhiasan kamu. Sebab sesungguhnya aku melihat kebanyakan penghuni neraka adalah wanita.”

Hal ini seakan-akan Baginda menganjurkan dan menyuruh wanita membebaskan diri daripada api neraka dengan amalan sedekah.

Sekarang mari kita hayati satu kisah diberitahu oleh Kaab bin Ujrah yang menceritakan bahawa: “Rasulullah SAW mengampiriku di Hudaibiyah. Ketika itu kepalaku dipenuhi kutu. Melihat keadaan kepalaku itu, lalu Baginda bersabda: “Mungkinkah kamu terkena serangga (kutu di kepala).

“Akupun menjawab agakan Rasulullah itu dengan berkata: ‘Benar Rasulullah. Seketika kemudian, Baginda memberikan satu cadangan kepadaku sebagai langkah memulihkan masalah di kepalaku.

“Baginda bersabda: ‘Kamu cukurlah rambutmu. Baginda juga berpesan: ‘Atau kamu berpuasa selama tiga hari atau bersedekahlah sebanyak faraq (tiga sha’) kepada enam orang atau korbanlah apabila kamu mampu.’” (Riwayat Bukhari)

Melalui kisah itu dapatlah kita fahami, salah satu mekanisme pemulihan daripada suatu masalah terhadap kita ialah dengan memberikan sedekah.

Ibnu Hibban ada melaporkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah yang dilakukan secara rahsia dapat memadamkan kemurkaan Allah, silaturahim dapat menambahkan umur dan berbuat kebajikan dapat menghindarkan kejahatan.”

Yakinlah keajaiban sedekah yang mampu menyelesaikan banyak persoalan dihadapi. Cuma, apabila bersedekah, niatlah ikhlas kerana Allah semata-mata.

Jangan sesekali mengiringi pemberian sedekah dengan rasa riyak ataupun mengungkit-ungkit pemberian itu.

Firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 264 antara lain bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit- bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riyak)...”

 

Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Disiarkan pada: July 28, 2015 @ 4:55am
d