mutakhir

Sekejap je ambil berat!

Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Sikap ambil mudah segelintir ibu bapa mengenai keselamatan anak membuatkan anak mereka terdedah kepada bahaya.

Ibu bapa hanya mengambil serius sesuatu kejadian itu jika ia berlaku dalam masa singkat sebelum melupakannya dalam tempoh dua minggu.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan Dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara Prof Datuk Abdul Halim Sidek menyifatkan ibu bapa kini seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’ kerana hanya mengambil berat sesuatu perkara dalam masa singkat dan kemudian melupakan hal itu.

Beliau berkata, kebanyakan ibu bapa hanya mengambil serius sesuatu insiden untuk tempoh dua minggu dan selepas itu tidak mempedulikannya sehingga hal sama berulang.

“Ibu bapa sekarang terlampau mengambil remeh hal serius khususnya keselamatan anak kerana selepas sesuatu isu reda, masing-masing kembali kepada sikap asal iaitu cuai.

“Bagi mereka perasaan takut hanya datang sekejap iaitu ketika insiden menjadi topik hangat di akhbar atau laman sosial,” katanya ketika dihubungi.

Abdul Halim mengulas demikian mengenai insiden bayi Qaseh Ainur Ramadhia Rahmadi berusia 14 bulan yang dilarikan bersama kenderaan ayahnya berdekatan pasar raya di Subang Jaya, Sabtu lalu.

Difahamkan dalam kejadian jam 10.30 malam, Qaseh yang tidur ditinggalkan di dalam kereta oleh bapanya, Rahmadi Sadikan, 25, kerana mahu memanggil isterinya yang bekerja di dalam restoran di pusat beli- belah berhampiran.

Tidak sampai lima minit, Rahmadi mendapati keretanya dilarikan bersama anak sebelum beliau cuba mengejarnya, tetapi gagal.

Selepas dua jam mengharungi detik cemas, Qaseh ditemui di stesen minyak di U1 Glenmarie, Shah Alam.

Abdul Halim berkata, seharusnya kejadian itu menjadi pengajaran besar kepada ibu bapa supaya berhati-hati dalam penjagaan anak.

Beliau turut meminta pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandang serius perkara ini serta memperketatkan undang-undang keselamatan terhadap kanak-kanak.

Disiarkan pada: July 28, 2015 @ 5:02am
d