mutakhir

'Itu semua mengarut'

Kuala Lumpur: Penyampai radio Sinar FM Feeya Iskandar, 25, menggesa seorang wanita misteri berhenti mengganggu dan menuduhnya di Facebook atas alasan kononnya dia cuba memikat suaminya.

Feeya atau nama sebenar Nor Shafiza Iskandar Azizan berkata, tindakan wanita terbabit menyerangnya dengan pelbagai tuduhan dan kutukan di laman sosial itu sejak bulan lalu adalah tidak berasas.

“Pada saya, tindakan wanita itu sangat mengarut dan tidak ada asas langsung. Saya diserang dan dituduh macam-macam menerusi mesej peribadi di Facebook.

“Tuduhan kononnya saya mahu mengganggu rumah tangga dia adalah fitnah dan tidak betul sama sekali. Daripada bimbang, sekarang saya mula meluat dan geram dengan gangguannya,” katanya.

Difahamkan, gangguan daripada wanita itu bermula apabila seorang lelaki tidak dikenali dipercayai suami wanita terbabit menghantar mesej untuk menggoda Feeya di Facebook pada Jun lalu.

Feeya yang terkejut dan bimbang dengan gangguan lelaki itu tidak membalas sebarang komen dan mengabaikan mesej-mesej berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, beberapa hari kemudian dia diserang pelbagai mesej berbaur ancaman dan kutukan daripada wanita terbabit pula.

Feeya berkata, dia masih bersabar dengan gangguan-gangguan itu selagi ia tidak memudaratkannya.

Katanya, dia akan bertindak lebih tegas dengan membuat laporan polis dan aduan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas ini jika masih menerima gangguan terbabit kerana dia sudah mengumpulkan bukti-bukti mesej itu.

“Saya tak kenal pun mereka berdua termasuk lelaki itu. Pada mulanya saya malas hendak bising-bising sebab menganggap gangguan begini perkara biasa, tetapi apabila semakin saya berdiam wanita itu terus menghantar mesej bukan-bukan, rasanya elok saya bertindak mendedahkan hal ini.

“Sudah letih saya menerangkan kepada wanita itu saya tidak kenal dan apa lagi mahu mengganggu suaminya. Jadi tolonglah berhenti ganggu saya sebelum saya ambil tindakan,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2015 @ 5:05am
d