mutakhir

Si Tanggang tak hirau denda nur ehsan

Johor Bahru: Sebahagian besar anak sanggup membayar RM50 sehari sebagai denda lewat mengambil ibu bapa masing-masing yang ditempatkan di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Kempas di sini, semata-mata tidak mahu terganggu ketika merayakan Aidilfitri.

Perkara itu didedahkan Pengasasnya, Norijah Bidin yang memaklumkan daripada 103 penghuni di situ, hanya 11 yang dibawa pulang anak masing-masing bermula 1 Syawal hingga hari keempat Aidilfitri.

“Kami mengenakan denda RM50 sehari bermula 1 Syawal hingga hari keempat Aidilfitri. Ia bukan menghukum, namun sebagai anak, mungkin mereka boleh membawa pulang ibu bapa masing-masing untuk merayakan Aidilfitri yang dirayakan setahun sekali ini.

“Ia juga bagi menyuntik rasa tanggungjawab anak terhadap ibu bapa, namun berlaku sebaliknya,” katanya.

Menurut Norijah, alasan biasa diberi ialah kehadiran ibu bapa yang sudah tua menimbulkan kesulitan kepada anak-anak di mana golongan itu tidak tahan perjalanan jauh, selain sukar memantau orang tua masing-masing pada setiap masa sepanjang empat hari berkenaan.

Norijah berkata, oleh itu, anak-anak memberi alasan jalan terbaik ialah menempatkan mereka di pusat jagaan dan membayar denda.

“Kami tidak pandang denda yang dikenakan sebaliknya rasa sayang kepada ibu bapa. Nilai positif yang cuba diterapkan gagal mengubah sikap anak-anak terbabit.

“Kami beroperasi sejak lapan tahun lalu dan penghuninya pula terdiri daripada mereka yang berusia 50 tahun hingga 80-an. Walaupun tidak mendapat perhatian anak, mereka tetap diberi perhatian pelbagai pihak yang simpati,” katanya.

Menurut Norijah, duka penghuni menyambut Aidilfitri di pusat jagaan walaupun masih mempunyai waris terubat dengan kehadiran banyak pihak yang melawat dan menghulurkan sumbangan kepada mereka.

Kata Norijah, sebagai pengasas, dia sendiri meraikan Aidilfitri bersama penghuni pusat jagaan itu berbanding keluarga sendiri.

“Mereka umpama ibu bapa saya. Saya sekeluarga serta kakitangan pusat jagaan ini tidak pernah melepaskan peluang memasak serta menghidangkan mereka dengan pelbagai juadah istimewa Aidilfitri.

“Tujuan kami bagi memastikan mereka menikmati suasana Aidilfitri bersama insan lain, malah kami meluangkan masa sepanjang hari dengan harapan mampu mengubati perasaan rindu mereka terhadap anak masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2015 @ 5:07am
d