mutakhir

Peniaga nafi cetus isu kaum

Sungai Besar: Seorang peniaga baja dan racun pertanian menafikan terbabit mencetuskan isu perkauman dan kata kesat melalui aplikasi Wechat palsu.

Cheah Kian Giap, 26, berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja menggunakan gambarnya bersama teman wanitanya dan menulis status membangkitkan ketegangan antara kaum.

Menurutnya, perkara itu hanya diketahuinya malam Jumaat lalu apabila seorang lelaki tidak dikenali menemuinya di kedainya di pekan Sungai Besar di sini, bagi memaklumkan perkara itu.

“Saya menegaskan akaun Wechat itu bukan milik saya sebaliknya saya dianiaya pihak yang mungkin mahu memfitnah saya.

“Mesej perkauman menerusi media sosial itu menyebabkan saya dikecam dan diugut,” katanya.

Cheah membuat laporan jam 10.30 malam kelmarin di Balai Polis Sungai Besar bagi menafikan terbabit dalam mesej perkauman itu.

Kelmarin, 100 oorang dari Sungai Besar dan Sabak Bernam berhimpun serta membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam terhadap seorang ahli perniagaan berkaitan tulisannya menghina orang Melayu dalam aplikasi Wechat iaitu ‘Selamat hari raya xxxx Melayu’.

Disiarkan pada: July 28, 2015 @ 5:11am
d