mutakhir

81% cari kerja baru

Petaling Jaya: Seramai 2,799 kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang diberhentikan pada Jun lalu mendaftar dengan Pusat Pembangunan Korporat (CDC) sehingga semalam.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata CDC mempunyai tenaga kerja terlatih untuk memberi panduan dan sokongan kepada kakitangan MAS yang ditamatkan kerja mengikut pelaksanaan Pelan Pemulihan MAS.

“Daripada jumlah berdaftar itu, sebanyak 81 peratus memilih pekerjaan baharu manakala 18 peratus lagi memilih untuk bekerja sendiri dan satu peratus lagi memilih untuk bersara,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke CDC, semalam.

Menerusi penganjuran karnival kerjaya oleh CDC pada Jun dan Julai ini, beliau berkata kira-kira 60 syarikat tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai bidang menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka.

CDC, yang memulakan operasinya pada 1 Jun lalu, ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad bagi mengadakan latihan semula, mewujudkan pekerjaan dan penempatan semula untuk kakitangan MAS yang diberhentikan.

Pelan Pemulihan MAS yang diluluskan Kabinet pada 27 Ogos 2014 dijangka mampu membantu MAS mencapai tahap keuntungan mampan dalam tempoh tiga tahun selepas penyenaraiannya menjelang 2017.

Pelan Pemulihan MAS diluluskan Kabinet pada 27 Ogos 2014. Pada Mac lalu, Penerbangan Malaysia mengumumkan bahawa ia ditukar nama menjadi Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif CDC Shahryn Azmi berkata pada masa ini, pihaknya hanya memberi tumpuan kepada pendaftaran kakitangan MAS yang diberhentikan.

“Kami ingin memberi peluang kepada kakitangan MAS mendapatkan pekerjaan lebih baik kerana kebanyakan mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman meluas dalam bidang masing-masing.

“Sebanyak 50 peratus daripada 2,799 yang mendaftar adalah daripada bahagian penyelenggaraan dan kejuruteraan,” katanya.

Antara syarikat tempatan dan antarabangsa yang menawarkan pekerjaan kepada mereka ialah syarikat penerbangan, perhotelan dan kejuruteraan.

Dalam perkembangan lain, Riot berkata seramai 11,023 kakitangan daripada 278 majikan dalam pelbagai sektor diberhentikan atas pelbagai sebab dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Kajian sumber manusia mendapati seseorang individu menukar kerjaya sebanyak tiga kali sepanjang hidup mereka.

“Justeru, pemberhentian lebih 10,000 kakitangan adalah sesuatu yang normal jika dilihat menerusi perspektif berbeza,” katanya. - BERNAMA

Disiarkan pada: July 29, 2015 @ 8:17am
d