mutakhir

Otak 'kecut'

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Asmah Rusman

Kuala Lumpur: “Otak saya jadi ‘kecut’ dan tidak waras sepenuhnya kesan heroin serta pelbagai pil sakit jiwa seperti Dormicum dan Suboxone yang pernah saya telan sejak sembilan tahun lalu,” kata seorang bekas penagih yang hanya mahu dikenali sebagai Boy Sentul, 28.

Dia yang pernah dimasukkan ke beberapa pusat pemulihan kini hidup merempat sekitar Jalan Raja Laut di sini, selepas sukar mendapatkan pekerjaan selain menghadapi masalah mental kronik.

Menurutnya, saraf otaknya mengalami kerosakan teruk kesan tindakannya kerap mengambil dadah berlebihan selain gemar mencampurkannya dengan pil psikotropik.

“Pil tidur dan pil sakit jiwa Dormicum itu dicampur dengan serbuk Suboxone untuk mendapatkan kesan khayal. Namun tindakan gila itu menyebabkan saraf otak saya rosak teruk.

“Saya mudah hilang ingatan, kerap jatuh pengsan mendadak selain mengalami halusinasi melampau. Dalam erti kata lain saya sudah jadi gila akibat rosak otak,” katanya yang mula menagih dadah sejak berusia 19 tahun.

Dia yang fasih berbahasa Inggeris dan pernah menuntut di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya mendakwa hidupnya musnah selepas terjebak dengan penyalahgunaan ganja dan heroin ketika remaja.

“Akibatnya saya pernah ditahan dan dimasukkan ke pusat pemulihan dadah di Rawang, Selangor.

“Namun saya akhirnya merempat selepas ibu meninggal dunia pada tahun 2010 menyebabkan saya hilang tempat bergantung hidup dan wang,” katanya.

Menurutnya, dia pernah bekerja sebagai pembantu di restoran sekitar Sentul dan Kepong di sini, namun dibuang kerja kerana masalah mental dialami.

“Ada masanya saya jadi manusia waras dan boleh berfikir normal. Namun kerap kali saya hilang ingatan dan tidak tahu apa yang dilakukan. Ada kalanya saya tersedar sedang berbogel atau tidur di dalam longkang,” katanya.

Dia menasihati golongan belia supaya menjauhi dadah dan tidak menyalahgunakan pil psikotropik untuk mendapatkan kesan khayal.

Sementara itu Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Farmasi Mazlan Ismail berkata, ramai penagih dadah sebelum ini menjadi gila atau mati mengejut akibat tindakan mereka mencampur adukkan dadah bersama pil psikotropik.

Menurutnya, tindakan berbahaya merumuskan dadah dicampur serbuk Suboxone dan serbuk dormicum boleh merosakkan tubuh dan saraf otak secara kekal.

“Pil Dormicum kerap dicampur penagih dadah bersama pil lain sebagai alternatif sekiranya mereka terputus bekalan dadah.

“Bagaimanapun pihak Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) kementerian Kesihatan Malaysia berjaya menangani masalah ini dengan mengambil tindakan terhadap pihak klinik atau individu yang menjual pil psikotropik itu secara haram,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2015 @ 8:18am
d