mutakhir

Ajal ketika meludah

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Gara-gara meludah, seorang pensyarah berusia 34 tahun maut selepas dia terjatuh daripada kereta Proton Saga dinaiki dipercayai akibat pintu yang tidak ditutup rapat, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 10.30 malam di atas Jambatan Sultan Ismail Petra (Jambatan Tendong), di sini, ketika mangsa bersama isteri yang memandu kereta itu dalam perjalanan dari Tumpat menghala ke Machang.

Difahamkan, ketika tiba di persimpangan lampu isyarat Tendong, di sini, mangsa sebelum itu membuka pintu untuk meludah dan menutupnya kembali sambil memberitahu mahu tidur kepada isterinya.

Bagaimanapun, isteri mangsa yang berusia 34 tahun juga pensyarah di institusi pengajian tinggi awam terkejut apabila mangsa terjatuh selepas pintu tempat duduk penumpang hadapan terbuka.

Wanita itu segera memberhentikan kenderaan untuk melihat suaminya dan meminta penunggang motosikal untuk menghubungi ambulans.

Mangsa dihantar ke Hospital Lati, Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala selepas terjatuh di atas jalan raya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan kejadian.

“Kes diklasifikasikan mati mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya.

Laman sosial heboh mengatakan kejadian berlaku disebabkan pertengkaran suami isteri, sebelum seorang daripada mereka terjun keluar kereta.

Disiarkan pada: July 29, 2015 @ 8:41am
d