mutakhir

Geng Vios hunus parang

Oleh Asmah Rusman dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Subang Jaya: Hanya tempoh 30 saat diperlukan sekumpulan empat penjenayah ‘Geng Vios’ merompak sebuah restoran bersenjatakan parang panjang.

Dalam kejadian jam 2.29 pagi semalam, tindakan suspek merompak kedai terletak di SS14 di sini, sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit.

Pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 35, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang duduk berborak bersama pekerjanya di hadapan premis.

Menurutnya, sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih tiba-tiba berhenti mendadak berhampiran meja makannya.

“Tiga lelaki bersenjatakan parang meluru keluar sambil menghunuskan parang panjang sebelum mengejar kami.

“Akibat ketakutan, saya berlari ke dalam kedai bersama pekerja,” katanya.

Menurutnya, suspek bagaimanapun tidak mencederakannya sebaliknya terus meluru ke kaunter bayaran di restoran itu.

“Suspek mengambil wang jualan RM2,000. Malah, pekerja saya yang ketakutan dan bimbang dicederakan turut menyerahkan dompet duitnya kepada suspek.

“Suspek terus melarikan diri menaiki kereta dipandu seorang lagi suspek,” katanya.

Menurutnya, dua pelanggannya yang panik turut sempat melarikan diri dengan menaiki kereta yang diletakkan di hadapan kedai.

“Sebuah kereta peronda polis kebetulan melalui hadapan premis beberapa minit selepas suspek melarikan diri. Jika tidak mungkin suspek berjaya diberkas polis,” katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya di sini.

Disiarkan pada: July 30, 2015 @ 10:36am
d