mutakhir

Sindrom risau terlampau

Oleh Muhd Izawan Baharin

Rawang: “Selama setahun saya menderita akibat sentiasa terfikir dibayangi maut sehingga seolah-olah lampu di siling masjid bila-bila masa boleh menghempap saya,” kata Syazwan Jaafar, bekas penghidap kecelaruan keresahan panik atau ‘panic disorder’ iaitu satu daripada penyakit psikiatri Anxiety Disorder (AD) yang menyebabkan seseorang risau terlampau terhadap sesuatu musibah.

Syazwan, 35, yang juga bilal Masjid al-Qurtubi di Segambut berkata, fikirannya mula terganggu akibat penyakit itu pada April 2013 selepas tiba-tiba terkena serangan panik.

“Tanpa sebarang sebab, jantung berdegup kencang, nafas menjadi sesak dan badan berpeluh. Saya mula gelisah dan tertanya-tanya adakah ini tanda ajal semakin dekat sehingga tidak dapat melaksanakan kerja,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, fikirannya sentiasa terbayangkan kematian secara melampau malah berulang-alik ke hospital dan klinik berpuluh kali disebabkan beranggapan mempunyai penyakit kronik mengakibatkan dia gelisah, takut dengan dosa, tidak cukup tidur dan badan menjadi sengal-sengal.

Syazwan berkata, dia berasa selamat atau kebimbangan itu hilang seketika apabila berada berdekatan hospital atau klinik.

“Alhamdulillah, selepas setahun menderita, saya pulih hasil nasihat serta sokongan rakan. Saya juga bertemu pakar psikiatri dan kaunselor untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

“Dalam Islam, kita digalakkan mengingati mati bagi meningkatkan kualiti ibadat namun bagi pesakit AD, ketakutan itu melampau-lampau sehingga menjejaskan kehidupan,” katanya.

Menurutnya, selepas pulih tahun lalu, dia mendapati ramai sebenarnya penghidap penyakit itu dalam kalangan masyarakat termasuk ustaz dan anggota polis.

“Ada juga memberitahu sanggup melanggar belakang kereta orang jika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas kerana gelisah. Mereka beranggapan dengan melanggar kereta orang, dia mendapat perhatian disebabkan ramai tampil menolong,” katanya.

Dia menyarankan, segera berjumpa pakar psikiatri kerana ada ubat untuk mengawal emosi, jangan duduk sendirian sebaliknya berkongsi dengan rakan walaupun ada yang mengatakan mereka sengaja mengada-ngada.

“Kepada pesakit AD, apa yang menimpa kita adalah ujian yang kita mampu hadapi dan pasti ada kebaikan jika bersabar,” katanya.

Menurutnya, sesiapa yang mahu maklumat lanjut boleh merujuk ke laman Facebook (FB) Anxiety Disorder Malaysian Community atau WhatsApp beliau di nombor 016-3716005.

Sementara itu, perunding motivasi khusus kepada penyakit Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) Talhah Daud berkata, tekanan kerja boleh menyebabkan seseorang itu terkena penyakit psikiatri seperti AD.

Menurutnya, apa yang penting ialah pesakit perlu sentiasa berfikiran positif kerana bagi setiap penyakit atau kesusahan yang menimpa kita, Allah akan menghapuskan dosa.

Disiarkan pada: July 30, 2015 @ 10:43am
d