mutakhir

PDRM jaga kebajikan waris

Kuala Lumpur: Semua balu dan ibu bapa pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban ketika Op Daulat di Sabah diberi bantuan dan kemudahan bagi memastikan hidup mereka mendapat pembelaan.

Malah bantuan kepada anak-anak mereka turut diberikan sehingga mencapai usia 25 tahun dalam usaha PDRM menjaga kebajikan keluarga wira yang terkorban demi mempertahankan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pelbagai bantuan dan sumbangan sudah diberikan kepada keluarga dan waris selain sumbangan berbentuk kewangan daripada orang perseorangan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan dan kerajaan negeri.

“Kebajikan keluarga wira sentiasa dipantau dan dijaga pihak kebajikan kontinjen dan daerah di mana tempat mereka tinggal.

“Kita juga berharap masyarakat, badan korporat dan pertubuhan kebajikan akan turut menghulurkan bantuan dalam apa jua cara demi membuktikan bahawa jasa dan pengorbanan mereka tidak dilupakan,” katanya dalam wawancara khas bersama media sempena sambutan Hari Pahlawan.

Mengulas mengenai sambutan Hari Pahlawan esok, Khalid berkata, beliau amat menghargai usaha kerajaan menjadikan 31 Julai sebagai Hari Pahlawan bagi memperingati jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan yang berkorban nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara dan maruah bangsa.

“Sambutan Hari Pahlawan adalah sebaik-baik peluang untuk rakyat Malaysia menunjukkan penghargaan mereka kepada pasukan keselamatan.

“Generasi muda tidak pernah melalui pahit getir zaman darurat. Mereka lahir dan hidup dalam era diwarisi daripada generasi sebelumnya yang terpaksa mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara,” katanya,

Sehubungan itu, institusi pendidikan memainkan peranan yang penting untuk mengembalikan rasa cintakan tanah air dan patriotisme yang harus dipupuk di peringkat awal alam persekolahan.

Katanya, pendidikan dari rumah melalui peranan ibu bapa juga penting dalam menerapkan semangat patriotisme dalam diri anak-anak.

Sempena sambutan Hari Pahlawan esok, Khalid menyeru orang ramai untuk datang beramai-ramai ke perhimpunan hari berkenaan di Dataran Merdeka bagi menyatakan sokongan dan memperingati pahlawan yang terkorban bermula jam 8 pagi.

“Sambutan kali ini dihoskan PDRM dan akan diadakan persembahan istimewa bagi memperingati pahlawan kita yang terkorban,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2015 @ 12:31pm
d