mutakhir

MOP tarikan baru Sepang

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Sepang: Pembukaan gedung beli-belah premium Mitsui Outlet Park (MOP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini mampu memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi beli-belah utama di rantau ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pembukaan MOP juga tepat pada masa dan mampu merancakkan lagi pembangunan di kawasan Sepang.

Beliau berkata, pembukaan MOP turut membantu menyumbang kepada daya saing Malaysia di peringkat global memandangkan ia terletak dalam Pelan Induk KLIA Aeropolis.

“Bagi merancakkan pusat beli-belah itu, saya meminta supaya harga barangan yang ditawarkan tidak boleh ditandingi berbanding pusat beli-belah premium yang lain.

“Malah, saya juga mahu kecekapan perkhidmatan bas perantara antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dengan Mitsui Outlet Park ditingkatkan lagi pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MOP di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa, Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsui, Fudosan Masanobu Komoda dan Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali.

Katanya, pelan induk KLIA Aeropolis bukan saja membawa satu revolusi kepada industri penerbangan negara sebaliknya membantu memacu bandar penerbangan ini terutama bagi menarik lebih banyak pelaburan perniagaan dan meningkatkan kedatangan pelancong ke negara ini.

Najib berkata, pembukaan MOP, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab perniagaan global untuk rantau ini.

Malah, katanya, pembukaannya juga selari dengan pembangunan pesat kawasan ini, sekali gus membantu memenuhi keperluan penduduk sekitar.

“Pembinaan MOP adalah salah satu Projek Permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi pelancongan dengan sasaran untuk memacu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Menerusi ETP, kerajaan mensasarkan untuk membina tiga gudang premium masing-masing di Iskandar Malaysia, Sepang dan Pulau Pinang yang dijangka menyumbang RM900 juta kepada pendapatan negara kasar dan mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan menjelang 2020,” katanya.

Disiarkan pada: July 30, 2015 @ 12:32pm
d