mutakhir

Penjenayah lapor polis

Ampang Jaya: Seorang penjenayah bertindak bodoh apabila membuat laporan polis berhubung kehilangan motosikalnya selepas melakukan rompakan.

Tindakan itu membongkar jenayah suspek berusia 20-an berikutan motosikal digunakan sebelum ini sudah dirampas polis.

Dalam kejadian jam 4 pagi semalam, suspek bersama empat rakannya dikatakan cuba merompak sebuah kedai serbaneka berhampiran pusat beli-belah Ampang Point di sini.

Sumber berkata, dua anggota polis yang sedang melakukan rondaan terserempak dengan suspek yang menaiki motosikal dan membawa parang.

“Suspek yang mahu melarikan diri bagaimanapun cuba diberkas polis menyebabkan berlaku pergelutan.

“Polis merampas beg dan motosikal seorang suspek. Bagaimanapun mereka melarikan diri,” katanya.

Dia berkata, seorang suspek bagaimanapun muncul di Balai Polis Ampang di sini, tidak sampai sejam selepas kejadian itu.

“Suspek berpura-pura menjadi mangsa kejadian curi motosikal dan mahu membuat laporan. Malah suspek menipu polis kononnya motosikal miliknya disamun.

“Taktik itu bagaimanapun tidak menjadi apabila suspek dikenal pasti bergelut dengan polis sebelum dia ditahan,” katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2015 @ 7:00am
d