mutakhir

Kekal penjara 2 tahun

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, semalam mengekalkan hukuman penjara dua tahun terhadap seorang wanita yang mengaku bersalah cuba memberi sokongan kepada seorang anggota kumpulan militan IS dengan berkahwin dengannya.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki sebulat suara menolak rayuan pendakwaan supaya menambah hukuman penjara terhadap Ummi Kalsom Bahak.

Mohtarudin berkata, hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan apabila menjatuhi hukuman penjara dua tahun terhadap bekas penolong pegawai kredit berusia 26 tahun itu kerana ia terletak dalam bidang kuasa beliau.

Dalam hujahnya, Timbalan Pendakwa Raya Nurshafini Mustafha berkata hukuman penjara yang dikenakan terhadap Ummi Kalsom itu jelas tidak memadai kerana ia tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukannya.

Beliau berkata, mahkamah perlu mengenakan hukuman bersifat pencegahan iaitu tidak lebih tujuh tahun penjara bagi mencegah bukan sahaja Ummi Kalsom, malah individu lain daripada melakukan kesalahan serupa.

Nurshafini berkata, kesalahan memberi sokongan kepada IS banyak berlaku beberapa bulan lepas tetapi kes Ummi Kalsom adalah yang pertama dibawa ke Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili Ummi Kalsom berkata hakikat bahawa hakim Mahkamah Tinggi memilih untuk menjatuhi hukuman penjara dan bukan hukuman denda terhadap anak guamnya menunjukkan hakim itu mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukannya.

Beliau berkata, hukuman dua tahun penjara itu memadai kerana fakta kes menunjukkan Ummi Kalsom cuba ke Syria untuk berkahwin dan tiada sebarang bukti kesalahan ditemui pada wanita itu.

Pada 31 Mac tahun ini, Hakim Kamardin Hashim menjatuhi hukuman penjara dua tahun terhadap Ummi Kalsom setelah wanita itu mengaku bersalah cuba memberi sokongan kepada IS dengan cuba memasuki Syria menggunakan penerbangan AirAsia laluan Brunei-Istanbul di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) untuk berkahwin dengan Aqif Huessin Rahizat, seorang angota IS.

Disiarkan pada: July 31, 2015 @ 7:57am
d