mutakhir

Sembunyi 2 minggu

Oleh Syazwan Msar

Kuantan: Tindakan dua lelaki yang bersembunyi selepas memukul dan menetak pemandu lori hanya mampu bertahan dua minggu apabila mereka ditahan dalam operasi khas di dua tempat berasingan di FELDA Bukit Goh, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, anggota polis yang menerima maklumat mengenai tempat persembunyian melakukan pemantauan sebelum menahan suspek.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, anggota polis daripada Unit Risikan Jenayah (URJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, menahan suspek pertama di rumah kedai di FELDA Bukit Goh.

“Polis yang mendapat maklumat berkaitan tempat persembunyian suspek melakukan intipan sebelum menahannya dan ketika ditahan lelaki berusia 45 tahun itu tidak melawan atau melarikan diri.

“Soal siasat dijalankan membawa kepada penahanan suspek kedua, seorang lelaki berusia 37 tahun di sebuah rumah juga di FELDA Bukit Goh,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: July 31, 2015 @ 7:58am
d